Disclaimer

This site's content is meant to be a place to vent
out anger, frustration, happiness, sadness and all other kinds of emotions. So,
read at your own risk ....


Wednesday, March 31, 2010

Jumaat Agung

Saudara dan saudari, Jumaat Agung adalah sambungan daripada Khamis Putih, hari pertama dalam Triduum Paska. Hari ini, kita memperingati kesengsaraan Tuhan kita, Yesus Kristus serta wafatNya di kayu salib. Kita merayakannya dengan bersungguh-sungguh, dengan hati yang terbuka kepada karunia Allah yang pada hari ini dikaruniakan ke atas diri kita dan atas seluruh umat manusia.

Servis pada hari ini terbahagi kepada tiga bahagian:
a) Pewartaan Kisah Sengsara Tuhan kita;
b) Penghormatan salib; dan
c) Bapa kami / Komuni

Sebelum kita mendengarkan Kisah Sengsara Tuhan, kita terlebih dahulu mendengar nubuat Yesaya. Di dalam bacaan pertama, Yesaya sudah menceritakan tentang seorang yang disebutnya “Hamba Tuhan”. Hamba Tuhan itu dihina dan diaibkan orang. Dialah manusia penuh sengsara, yang tahu apa ertinya ‘menderita’. Penderitaannya itu penting bagi umat manusia, kata Yesaya. Sesungguhnya penderitaan itu memang sukar dan sering kali menjadi satu misteri kepada semua, namun penderitaan yang dialami oleh ‘Hamba Tuhan’ mengalahkan segala kuasa kegelapan dan dosa.

Dan di dalam bacaan kedua, Yesus diperlihatkan sebagai Imam Agung yang dapat turut serta dalam merasakan kelemahan manusia. Sama seperti manusia biasa, ketika Yesus diselubungi dengan ketakutan dan kebimbangan, Dia menyerahkan kehendakNya kepada Bapa dan Bapa telah mendengar setiap keluhan dan rintihanNya. Saat itulah yang menjadikan Dia imam dan juga korban supaya melalui Yesus, Ia menjadi sumber kehidupan dan keselamatan bagi semua orang.

Di dalam Pewartaan Kisah Sengsara Tuhan yang baru diperdengarkan sebentar tadi, ayat terakhir yang diungkapkan oleh Yesus sebelum wafat ialah “Sudah selesai”. Dua perkataan sekiranya di dalam Bahasa Melayu, tetapi di dalam bahasa asal, ia disebut “Telestai” yang bermaksud “Dibayar penuh”. Melalui kematianNya di kayu salib, Yesus telah menebus kita semua yang berdosa dengan darahNya supaya kita peroleh pengampunan atas dosa-dosa kita serta menikmati hubungan baru dengan Allah melalui Yesus Kristus, PuteraNya. ‘Hutang’ kita telah sudah diselesaikan penuh oleh Yesus. Dan seperti Bapa mengampuni dosa kita, haruslah kita mengampuni mereka yang bersalah kepada kita.

Bagaimanakah kita harus respons kepada ayat terakhir yang diungkapkan oleh Yesus itu? Harus diingat, ianya bukan satu janji mahupun satu syarat. Kita sememangnya sudah diampuni setiap dosa kita. Apa yang perlu kita lakukan adalah mengucapkan “Amin”. Apa yang perlu kita lakukan hanyalah percaya dengan sepenuh jiwa dan raga kita bahawa dosa kita telah diampuni dan ‘dibayar penuh’. Kerana itu, kita bersyukur dan bergembira kerana Yesus. Kita memberikan penghormatan kepada Yesus dengan mencium Salib kerana Salib merupakan lambing kepada pembebasan kita. Oleh kerana Salib tidak dapat dipisahkan dengan pengorbanan Yesus, semasa kita memberi penghormatan, kita sebenar-benarnya menegaskan bahawa “Kami memuja-Mu dan memuji-Mu, Yesus, kerana dengan Salib Suci-Mu, Engkau telah menebus dosa dunia.” Dan semasa kita tampil ke depan untuk memberi penghormatan kepada Salib yang melambangkan Yesus sambil merenungkan kematian Yesus untuk mengampuni dosa kita, kita berjanji padaNya supaya hidup kita bisa menjadi sebuah lagu kesyukuran, yang tak henti-hentinya bersyukur kepada Yesus yang mati bagi membayar dosa kita.

No comments: